Site Network: Laman Utama | Harakah | Malaysiakini | Che Det

LAPORAN POLIS ISU KENAIKAN HARGA PETROL,DIESEL OLEH PEMBELA

KUBANG PASU, 8 Jun (Editor Pembela) - Berbohong bukanlah perkara baru kepada pimpinan Kerajaan Barisan Nasional. Satu ketika, hingga terlalu banyak bercakap bohong, ada orang menyindir dengan pepatah 'Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri'.

Pada 12 Februari lalu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menjawab pertanyaan media berhubung pembubaran parlimen menyatakan tidak ada pembubaran esok hari. Bagaimanapun keesokannya, pada tengah hari 13 Februari, beliau mengadakan sidang media tergempar mengumumkan pembubaran parlimen.

Begitu juga pada 3 Jun baru-baru ini, akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Abdul Samad dalam satu sidang media di Lobi Dewan Negara sebagai berkata bahawa harga petrol dan diesel mungkin naik Ogos ini apabila Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi melakukan penstrukturan semula skim subsidi bahan bakar itu.

"Ia akan berlaku....harga minyak akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila diberi penstrukturan semula," demikian kata Shahrir sebagaimana petikan akhbar terbabit.
Bagaimanapun seperti yang diketahui umum, pada 4 Jun keesokannya Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel berkuat kuasa tengah malam berkenaan.

Mendakwa tertipu dengan laporan itu, Pertubuhan Belia Bersatu Malaysia (Pembela) membuat satu laporan polis membabitkan kenyataan menteri berkenaan yang antara lain sebagaimana laporan Utusan Malaysia menyebut 'Kita akan menggunakan tempoh dua bulan ini untuk melakukan kajian terperinci bagi penstrukturan semula skim subsidi bahan api'.

Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jitra, Pembela antara lain mempersoalkan kenyataan menteri berkenaan yang dianggap mengelirukan selain bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri.

Mempersoalkan kajian yang akan dijalankan kementerian terbabit dan khuatir kemungkinan wujud tekanan pihak-pihak tertentu yang boleh menggugat ketenteraman awam serta kestabilan politik negara, Pembela menuntut pihak polis supaya satu siasatan ke atas menteri berkenaan dapat dilakukan.

Sementara itu Presiden Pembela, Ir. Mohd. Jamal Nasir menyifatkan kenyataan menteri berkenaan sebagai tidak mesra rakyat dan cuba memperbodohkan rakyat.

"Pembela menuntut supaya suatu siasatan dapat dilakukan oleh Polis ke atas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Sharir Abdul Samad, jika ia boleh disabitkan dengan kesalahan maka, suatu tindakan perlu diambil ke atasnya menurut peruntukan undang-undang," ujar beliau dalam laporan polis yang dibuatnya itu. -

0 komen:

Catat Ulasan