Site Network: Laman Utama | Harakah | Malaysiakini | Che Det

TUN MAHATHIR HADIR PROGRAM JASAMU DIKENANG DAN FORUM KEPIMPINAN MELAYU

TERKINI - Umno Bahagian Kubang Pasu yang diterajui Dato' Johari Baharom dan orang kuat Presiden Umno Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan menerima tamparan hebat ekoran kedatangan Tun Mahathir Mohammed di majlis ‘Jasa Mu Di Kenang dan Forum Kepimpinan Melayu’ yang dianjurkan oleh gabungan beberapa badan bukan kerajaan.

Sebelum ini, Umno Kubang Pasu dikejutkan dengan tindakan penyokong Tun Mahathir dan Dato’ Mukhriz Tun Mahathir menaikkan sepanduk yang menyatakan kesetiaan kepada Tun Dr. Mahathir yang tertera gambar Tun di samping kata-kata 'Kami Bersama Mu', dapat dilihat antaranya di Persimpangan Maybank Jitra, berhampiran Masjid Kepala Batas, Bandar Darulaman dan Pekan Jitra Lama.

Menurut Presiden Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA), Ir. Mohd Jamal Nasir bahawa Pembela akan berkerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan lain seperti Teras, Badan Bertindak Warga Darulaman (Badar) dan Dewan Himpunan Melayu Kedah menganjurkan suatu majlis khas bersama Tun Dr. Mahathir Mohammed di Kubang Pasu.

Mohd Jamal berkata, “suatu mesyuarat bersama dengan Teras, Badar dan Dewan Perhimpunan Melayu Kedah untuk menyelaras kerja-kerja persiapan majlis tersebut akan diadakan dalam masa yang terdekat.

Majlis khas tersebut yang diberi nama “Jasamu DiKenang dan Forum Kepimpinan Melayu” akan diadakan pada 28 Jun akan datang, jam 2.45 petang, bertempat di Dewan Wawasan, Jitra.

“Pihak penganjur menjangkakan bahawa seramai 5000 orang akan hadir memenuhi Dewan Wawasan tersebut yang terdiri dari pelbagai latarbelakang pegangan politik, profesyen dan kedudukan dalam masyarakat’ ujarnya lagi.

Seorang ahli Umno, juga bekas kepimpinan Umno Bahagian Kubang Pasu yang ditemui mengalu-alukan program yang bakal diadakan kerana sejak Tun meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Ketua Bahagian Umno Kubang Pasu belum ada majlis seumpama dianjurkan oleh mana-mana pihak untuk memberi penghormatan atau mengenang jasa Tun.

Katanya (Abang Din) nama panggilan mesra, “sumbangan Tun amat besar di Kubang Pasu samada sebagai Ketua Umno Bahagian, Ahli Parlimen dan juga Perdana Menteri Malaysia”.

“Kehadiran Tun di sini akan memberi suntikan baru kepada ahli-ahli Umno yang sudah rasa muak dengan gelagat beberapa pemimpin Umno Kubang Pasu yang jelas mementingkan diri sendiri dan kroni-kroni mereka tanpa mementingkan nasib rakyat, khususnya orang Melayu’ ujarnya dengan bersungguh-sungguh, sekaligus berjanji akan hadir bersama-sama rakan veteran Umno di majlis tersebut.

Tinjauan mendapati bahawa kemarahan ahli-ahli veteran Umno kepada kepimpinan Umno di peringkat bahagian maupun pusat adalah berpunca daripada penyingkiran secara bersistematik Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam proses pemilihan perwakilan ke Persidangan Umno Malaysia pada tahun 2005 lalu. Mereka menganggap tindakan tersebut sebagai suatu penghinaan kepada seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

Mohd Jamal menambah, “dijangkakan pada majlis tersebut sejumlah ahli-ahli Umno Kubang Pasu akan hadir, sekaligus akan membuat pengisyitiharan keluar Umno mengikut jejak langkah Tun Mahathir kerana tidak lagi yakin dengan perjuangan Umno yang dipimpin oleh Pak Lah di peringkat pusat dan Dato’ Johari Baharom sebagai Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu”.

Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Salehhudin Ayob (Ahli Parlimen Kubang Kerian), Tan Sri Khalid Abdullah, Pengerusi Dewan Himpunan Melayu Kedah, Cikgu Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Teras dan Ustaz Ismail Wan Teh, Pengerusi Badar.

Pihak penganjur juga ingin mengingatkan kepada orang ramai yang mahu hadir ke program tersebut supaya datang lebih awal lagi kerana tempat adalah terhad.

0 komen:

Catat Ulasan