Site Network: Laman Utama | Harakah | Malaysiakini | Che Det

ISU KAKITANGAN MDKP DIBERIKAN NOTIS TAMAT PERKHIDMATAN

Oleh : Pembelawaja

KUBANG PASU – Perjumpaan PEMBELA dengan kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu yang diadakan malam (2 Julai) bersetuju menubuhkan Badan Bertindak Rayuan Kakitangan Awam MDKP.


Perjumpaan tersebut telah dihadiri oleh Naib Presiden 2, Ooi Jin Taik, Setiausaha Agung, Basir Hj. Ismail serta Ahli Majlis Eksekutif PEMBELA yang lain dan kakitangan awam MDKP.

Menurut Basir Hj. Ismail, “perjumpaan diadakan ekoran aduan di terima oleh PEMBELA tentang tindakan Majlis Daerah Kubang Pasu mengeluarkan ‘Notis Tamat Perkhidmatan” dan surat “Tawaran Lantikan Jawatan Pekerja Awam –R1 (Sambilan) kepada pekerja baru-baru ini”.

Maklumat diperolehi ialah notis penamatan tersebut dikeluarkan oleh MDKP kepada pekerja berstatus ‘kontrak’ yang telah berkhidmat sejak 7 tahun lalu.

Katanya lagi, “keseluruhan kakitangan awam yang hadir dalam perjumpaan yang diadakan, melahirkan rasa kekecewaan mereka kepada pihak pentadbiran dan pengurusan MDKP yang mengeluarkan notis tersebut tanpa memberikan sebarang alasan dan mengadakan perundingan dengan mereka”.

Hasil perjumpaan tersebut, seluruh kakitangan MDKP telah bersetuju menubuhkan Badan Bertindak Rayuan Kakitangan MDKP sebagai mekanisme mewakili pekerja-pekerja membuat rayuan dan tindakan menuntut hak-hak pekerja kepada pihak yang berwajib.

Basir menambah, “tindakan MDKP memberi notis tamat perkhidmatan pekerja secara kontrak (sebelumnya) dan menawar pula jawatan sebagai pekerja awam (sambilan) menimbulkan banyak persoalan serta mengambarkan pihak pentadbiran PBT Kubang Pasu tidak peka dengan tuntutan pekerja”.

“Lebih mendukacita lagi ialah tawaran sebagai pekerja awam sambilan tersebut, bukan menambah kebaikan, sebaliknya merugikan pekerja yang rata-rata telah berkhidmat melebihi 7 tahun”, ujarnya lagi.

Sebagai contohnya, mereka mendakwa bahawa, sebagai pekerja kontrak pendapatan mereka memperolehi pendapatan sehingga mencecah RM 1022.00, termasuk dengan kemudahan-kemudahan lain seperti cuti sakit dan pinjaman perumahan. Sebaliknya, jika mereka menerima tawaran sebagai pekerja sambilan, bukan sahaja gaji di bayar mengikut harian bekerja, malah jika dihitung pendapatan yang diperolehi jauh lebih rendah berbanding dengan pendapatan sebelumnya.

“Berdasarkan kepada fakta, PEMBELA merasakan bahawa pekerja MDKP ini telah diinayai dan akan berusaha sedaya upaya untuk memperjuangkan hak mereka, walaupun terpaksa mengikut saluran undang-undang”, tegas Basir lagi.
Pekerja-pekerja yang terlibat dengan notis tamat perkhidmatan dan surat tawaran sebagai pekerja awam (sambilan) di beri tempoh masa selewat-lewatnya pada 10 Julai ini (14 hari) untuk menandatangani surat persetujuan menerima jawatan tersebut.
Jika mereka gagal untuk mengembalikan surat tawaran, dianggap tidak berminat untuk terus berkhidmat dengan MDKP lagi.

Kronologi Isu Pekerja MDKP
:-

Tahun 2000 - Diterima berkhidmat sebagai pekerja sambilan MDKP
Tahun 2007 - Diserap masuk sebagai pekerja kontrak
27 Mei 2008 - Menerima Notis Tamat Perkhidmatan
26 Jun 2008 - Tawaran Jawatan Pekerja Awam - R1 (Sambilan)
30 Jun 2008 - Pekerja terlibat buat aduan kepada PEMBELA
2 Julai 2008 - PEMBELA mengadakan perjumpaan dengan pekerja-pekerja MDKP yang
dihadiri seramai 22 orang dan bersetuju tubuhkan Badan Bertindak Rayuan
Pekerja-Pekerja MDKP untuk membuat rayuan kepada Kerajaan Kedah

0 komen:

Catat Ulasan