Site Network: Laman Utama | Harakah | Malaysiakini | Che Det

OLEH : Pembelawaja


KUBANG PASU – Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA) yang mengikuti perkembangan mutakhir politik tanah air yang melibatkan parti PAS dan UMNO berhubung isu muzakarah yang disiarkan secara meluas dalam media massa (cetak dan eletronik) adalah suatu perkara yang perlu di beri perhatian oleh semua pihak.

Muzakarah merupakan isu yang sudah lama diperkatakan oleh kedua-dua parti politik yang bernuansakan orang-orang Islam dan Melayu di negara ini, tetapi sehingga sekarang ia hanya polimek dan isu politik semata-mata.

Maudu’ yang berkaitan muzakarah tidak diendahkan, sebaliknya pihak-pihak yang terlibat lebih mementingkan ‘siapa yang untung’ dari segi politik untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa politik masing-masing.

Akhirnya, muzakarah bukan lagi budaya positif seperti yang diamalkan oleh generasi Islam zaman lampau dalam menyelesaikan sesuatu perkara ataupun mencari perkara yang ‘terbaik dari yang baik’.

Bagi PEMBELA, menyambut baik hasrat mana-mana pihak, khususnya UMNO dan PAS untuk mengadakan muzakarah kerana ia merupakan budaya sihat samada dalam berwacana ataupun mencari jalan penyelesaian dalam sesuatu perkara, apatah lagi melibatkan kepentingan umat Islam dan Melayu.

Masalah yang bertimpa-timpa ke atas umat Islam dan Melayu di negara ini, sewajarnya diselesaikan melalui Muzakarah. Fakta jelas di depan mata bahawa umat Islam dan Melayu di Malaysia telah ketinggalan dalam bidang ekonomi, pendidikan, hubungan sesama insan yang sangat penting, di samping pelbagai masalah sosial yang melanda seperti dadah, pelacuran, mat rempit, budaya lepak dan banyak lagi yang melibatkan anak-anak atau golongan rakyat yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Lebih menakutkan lagi bahawa kuasa politik yang dimiliki oleh umat Islam dan Melayu semakin terhakis angkara sistem politik yang kotor, jijik dan meloyakan, akibatkan sikap sebahagian ahli-ahli politik yang berpengaruh dan berkuasa mengambil kesempatan mencari kekayaan peribadi, kaum keluarga dan kroni masing-masing dengan merompak khazanah negara dan hak rakyat.

PEMBELA menegaskan, jika muzakarah hendak dijalankan biarlah ia dilakukan mengikut disiplin dan tatacara yang betul supaya hasil muzakarah tersebut dapat diterima pakai dan dilaksanakan oleh keduabelah dengan ikhlas dan rasa takut terhadap Allah SWT. Maknanya, pihak yang ingin bermuzakarah seharusnya mengelakkan diri dari menjaga kepenting peribadi, kelompok atau parti yang didokongi, sebaliknya menerima hasil yang telah di muzakarahkan tersebut dengan penuh bertanggungjawab.

PEMBELA juga berpendirian bahawa muzakarah adalah landasan terbaik yang boleh digunapakai oleh PAS dan UMNO untuk membincangkan kepentingan umat Islam dan Melayu di negara ini. Segala kenangan pahit masa lampau hendaklah diketepikan dan jika tersirat melakukan tipu muslihat oleh mana-mana pihak yang terlibat hendaklah dihindarkan segera, demi membuktikan bahawa kedua-dua parti yang terdiri ahli dari kalangan umat Islam dan Melayu serius untuk menyelesaian beribu persoalan dan permasalahan yang membelenggu umat Islam dan Melayu di Malaysia.

Menurut Hj. Hashim Abd. Rashid, Ahli Majlis Eksekutif PEMBELA bahawa, “sebagai permulaannya muzakarah boleh dilakukan antara individu dengan individu supaya hubungan antara keduabelah lebih rapat dan saling memahami antara satu sama lain”.

“Muzakarah tidak semestinya menjurus kepada penggabungan kuasa politik di antara parti PAS dan UMNO, sebaliknya ia mencari penyelesaian masalah yang dihadapi oleh umat Islam dan Melayu di negara ini”.

Hashim menambah, “jika melalui muzakarah boleh menemui titik persamaan keduabelah pihak PAS dan UMNO, sehingga membentuk sebuah entiti umat Islam dan Melayu yang berlandaskan kepada prinsip-prinsip Islam, sekaligus memberi kebaikan kepada Umat Islam dan Melayu di negara ini, maka muzakarah adalah menjadi perkara penting dijayakan”.

PEMBELA berdoa supaya senario politik umat Islam dan Melayu di negara ini sentiasa berada dalam keadaan yang tenang dan positif, demi kebaikan Islam dan survival orang Melayu.

0 komen:

Catat Ulasan