Site Network: Laman Utama | Harakah | Malaysiakini | Che Det

PEMBELA JUMPA PENIAGA, ISU ROBOH GERAI OLEH MDKP

Gambar kelihatan saudara Basir Hj. Ismail, Setiausaha Agung PEMBELA
berbincang dengan para peniaga Kg. Kelubi, Jitra
Oleh : Pembelawaja

KUBANG PASU – Hari ini PEMBELA diwakili oleh Setiausaha Agung, Basir Hj. Ismail dan rombongannya iaitu Naib Presiden 1, Che Halim Ismail, Penolong Setiausaha Agung, Idris Hj. Hassan dan Pegawai Pentadbiran, Khairul Hadee Ismail mengadakan perjumpaan ringkas dengan Persatuan Peniaga-Peniaga Kg. Kelubi, Jitra berhubung isu “meruntuh dan memindahkan gerai” mereka.

Menurut Basir bahawa, “ perjumpaan ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu meruntuh dan memindahkan gerai para peniaga di sekitar Jalan Masuk Taman Tengku Sarina, Bandar Darulaman oleh pihak Majlis Daerah Kubang Pasu merujuk kepada notis MDKP (BP) 109/1/1-80, bertarikh 25 Jun 2008 lalu.

Surat tersebut telah dikeluarkan oleh Setiausaha Majlis Daerah Kubang Pasu, Abdul Halim Hassan kepada para peniaga berkenaan dengan cara menampalkannya di dinding atau tiang-tiang gerai berkenaan.

Dalam pertemuan tersebut, Basir berjanji akan cuba membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peniaga berkenaan dengan pihak PBT Daerah Kubang Pasu dengan sebaik mungkin.

Menurut Pengerusi Persatuan, saudara Zainol Hashim Ali bahawa, “pihak Majlis Daerah Kubang Pasu langsung tidak beri peluang kepada kami selaku peniaga-peniaga di kawasan ini untuk memberi pandangan dan berbincang”.

“Jika tindakan merobohkan oleh pihak Majlis Daerah Kubang Pasu diteruskan juga, seolah-olah mereka hendak menabur pasir dalam periuk kami”.

Katanya lagi, “kami selaku peniaga yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam janganlah dianggap seperti pengemis, sebaliknya kami hanya ingin mencari rezeki untuk mencari nafkah menyara kehidupan keluarga seperti orang lain juga”.

Basir pula berkata, jika niat merobohkan gerai-gerai mahu diteruskan juga, mereka (PBT Kubang Pasu) hendaklah mencadangkan ataupun membangunkan gerai-gerai baru di bawah kelolaan Majlis Daerah Kubang Pasu kepada para peniaga yang sebahagiannya mereka telahpun berniaga di situ sejak 3 tahun lalu.

“Adalah tidak wajar, apabila gerai dirobohkan oleh PBT Kubang Pasu, para peniaga berkenaan dibiarkan begitu sahaja tanpa memikirkan tanggungjawab mereka untuk mencari nafkah menyara keluarga seperti orang lain.

PEMBELA memandang serius isu yang berkaitan tindakan pihak Majlis Daerah Kubang Pasu terhadap para peniaga, kerana sebelum ini tidak pernah berlaku tindakan meroboh gerai peniaga secara aggresif oleh pihak berkenaan.

0 komen:

Catat Ulasan