Site Network: Laman Utama | Harakah | Malaysiakini | Che Det

PEMBELA KUTUK PERSEMBAHAN HIBURAN LIAR DALAM PROGRAM PROTES

Gambar ...Penyanyi Kumpulan Carburetor Dung Membuat Persembahan
dalam progam Himpunan Protes Membantah Kenaikan Harga Minyak

OLEH : Pembelawaja

BERITA TERBARU – Tindakan vokalis kumpulan Carburetor Dung yang menjilat-jilat dan menunjukkan punggungnya sehingga ternampak seluar dalam kepada penonton yang hadir dalam perhimpunan Protes semalam (5 Julai), di Stadium Kelana Jaya merupakan persembahan yang amat keterlaluan dan memalukan.

Memetik laporan media arus perdana bahawa, kejadian ini berlaku kira-kira jam 7 petang semalam sewaktu majlis perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di stadium Kelana Jaya.

Berhubung dengan persembahan yang disifatkan sebagai hiburan liar, lucah dan mengaibkan tersebut, PEMBELA ingin merakamkan rasa kecewa dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya persembahan liar oleh vokalis kumpulan Carburetor Dung dan meminta pihak penganjur bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.

Setiausaha Agung PEMBELA, Basir Hj Ismail mempersoalkan pihak penganjur yang tidak peka terhadap sensitiviti agama, budaya dan bangsa di negara ini yang majoritinya beragama Islam, sehingga menjemput kumpulan rock punk membuat persembahan dalam perhimpunan tersebut”.

“Mengapa hiburan yang bersifat liar, lucah dan ganas ini dibiarkan berlaku dalam satu program yang bertujuan untuk memprotes kenaikan harga minyak petrol dan diesel”, ujarnya.

Soalnya lagi, “Apakah kewajaran pihak penganjur sehingga terpaksa mengadakan persembahan hiburan dalam himpunan yang bertujuan untuk memprotes kenaikan harga minyak yang menjadi isu rakyat di negara ini”.

Beliau menambah, “kedatangan orang ramai dari seluruh negara bukan kerana nak tengok konsert yang bersifat liar, lucah dan ganas, sebaliknya untuk menyatakan bantahan kepada pihak kerajaan UMNO/BN yang telah menaikkan harga bahan api (petrol dan diesel) sejak 4 Jun lalu”.

Oleh itu, PEMBELA rasa amat kecewa dengan sikap pihak penganjur yang tidak peka dengan kehendak masyarakat, sekaligus mencetuskan rasa curiga rakyat tentang kesungguhan parti-parrti politik dalam Pakatan Rakyat untuk mencegah budaya hiburan liar, lucah dan ganas jika diberi peluang berkuasa nanti.

Namun, PEMBELA memuji tindakan berani penonton naik ke pentas menghalang persembahan liar penyanyi berkenaan dan mengecam tindakan penonton yang membaling batu-bata dan botol minuman kepada penonton yang cuba memberhentikan persembahan tersebut.

Basir menambah, “pihak Protes jangan mengalihkan isu ini dengan menuduh bahawa ia adalah tindakan provokasi pihak-pihak tertentu, mereka seharusnya bertanggubjawab dan menginsafi bahawa hiburan liar adalah bertentangan dengan tuntutan ajaran Islam serta dimurkai oleh Allah SWT”.

Caburetor Dung merupakan kumpulan punk rock, ditubuhkan pada 1991 di Kuala Lumpur. Kumpulan ini diasaskan oleh pemain bes Fendi dengan nama stormfish, kemudian namanya di tukar kepada Carburetor Dung apabila Joe Kidd menyertai kumpulan tersebut.

“PEMBELA akan menghantar surat kepada Protes dalam masa terdekat supaya pihak yang berkenaan boleh menjelaskan kepada rakyat, kewajaran mereka menjemput kumpulan rock punk membuat persembahan”, tegasnya lagi.

Sehubungan itu, PEMBELA ingin menyeru kepada rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian serta budaya dan hiburan sihat supaya mengutuk pihak penganjur (Protes) serta memulaukan kumpulan ini.


0 komen:

Catat Ulasan